‘Jika Saya Beri ‘Lampu Hijau’, Tapi Engku Emran Tidak Setuju, Tak Boleh Juga’ – Erra Fazira

 

” Saya akan menyokong dan mendorong apa sahaja minat Aleesya…”

Itu luahan bekas Primadona Filem Melayu, Erra Fazira, 47, yang berkata beliau tidak akan sesekali mengongkong minat puteri kesayangannya, Engku Aleesya Engku Emran, 12.

Bahkan Erra berkata, beliau akan merestui sekiranya Aleesya mahu mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni.

Ujar Erra, Aleesya pernah dilamar untuk menjayakan iklan, namun dirinya tidak boleh membuat keputusan, sebaliknya perlu mendapat keizinan bapa Aleesya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

” Sebagai ibu moden, saya tidak mahu menetapkan apa yang boleh dan tidak untuk Aleesya lakukan. Sebaliknya, saya akan menyokong dan mendorong apa sahaja minat Aleesya.

” Sekiranya Aleesya berminat mengikut jejak langkah saya menjadi selebriti sekali pun, tiada masalah kerana saya akan memantau aktivitinya.

” Cuma, dalam apa sahaja perkara membabitkan Aleesya, saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Saya akui, ada sahaja permintaan mengundang Aleesya muncul dalam iklan televisyen, tetapi saya kena bertanya kepada Engku Emran.

” Jika saya memberikan ‘lampu hijau’, tetapi Engku Emran tidak setuju, ia tidak boleh juga. Jadi, apapun kena ada persetujuan bersama,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini kecantikan wajah Aleesya sering menjadi perhatian peminat dan ramai yang membandingkan dengan Erra sewaktu beliau berlakon filem Sembilu.

” Rambut dia sama macam watak Wati (watak Erra) dalam filem Sembilu,” kata seorang pengguna Instagram.

Selain filem Sembilu, ada juga netizen menyamakan wajah Aleesya seperti ibunya ketika berlakon dalam filem Maria Mariana.

” Baru-baru ini tengok Maria Mariana. Sama betul muka Maria (watak Erra) dengan Engku Aleesya. Cuma kening dia ikut ayahnya,” kata salah seorang pengguna.

Erra ditemui ketika sidang akhbar drama Gerak Khas Undercover secara virtual bersama TV3, baru-baru ini.

Bekas Miss Malaysia World 1992 itu membawakan watak sama, tetapi kali ini dinaikkan pangkat DSP Jeslina.

Katanya, wataknya kali ini lebih mencabar kerana membabitkan babak dalam pejabat sahaja. Oleh kerana kurang babak aksi, jadi perlu ada kelainan agar kewujudannya dirasai penonton.

” Disebabkan dinaikkan pangkat, jadi kebanyakan masa saya lebih banyak di pejabat sahaja.

” Bagaimanapun, ada beberapa babak di luar yang memerlukan saya menyamar, namun, setakat ini, saya belum terbabit adegan aksi.

” Selain cabaran memastikan kewujudan saya disedari penonton, saya cuba memastikan lakonan sebagai pelakon lama dan barisan wajah baharu dalam drama ini dapat keserasian.

” Sebenarnya, saya sendiri terkejut apabila Gerak Khas disambung semula, tetapi alasan diberikan penerbit, Datuk Yusof Haslam kenapa drama ini diteruskan memang ada benarnya.

” Drama Gerak Khas sudah begitu sinonim di kalangan penonton, jadi sayang jika habis begitu sahaja,” kata Erra.

Ditanya apakah formula digunakan sehingga namanya terus menjadi pilihan penerbit untuk menerajui watak utama dalam filem mahupun drama, Erra berkata, kuncinya adalah disiplin.

” Bagi saya, kunci bertahan lama adalah disiplin. Jangan masuk dalam bidang seni setakat main-main. Pasang niat menyumbang sesuatu kepada industri.

” Dari masa ke masa, perlulah ada peningkatan dalam mutu kerja. Selain itu, kita perlu menjadi orang yang boleh berkompromi dan senang bekerjasama.

” Ada kala, saya tidak tahu adakah orang selesa dengan untuk perkara kecil.

” Aspek kecil ini perlu dijaga kerana ia akan menentukan sampai bila orang senang mahu bekerjasama,” katanya yang pernah memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tujuh kali.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Pisang Daily

sumber: bh

Be the first to comment on "‘Jika Saya Beri ‘Lampu Hijau’, Tapi Engku Emran Tidak Setuju, Tak Boleh Juga’ – Erra Fazira"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*